Pada tahun 2007 negeri Sabah bertuah kerana buat pertama kalinya Kementerian Pertahanan membuka sebuah Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atauRoyal Malaysian NAVY khasnya untuk pangkalan kapal selam yang dibeli oleh kerajaan dari negara Perancis. Pangkalan ini terletak di Teluk Sepanggar Kota Kinabalu. Seiring dengan itu sebuah sekolah rendah untuk kemudahan anak-anak TLDM yang berkhidmat di Pangkalan ini disediakan oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan.
Bangunan sekolah ini adalah di bawah projek Kementerian Pertahanan. Dengan kata lain, bangunan sekolah adalah milik TLDM. Pada mulanya nama sekolah ialah SK Kem Teluk Sepanggar Kota Kinabalu. Mula beroperasi pada 3 Januari 2007. Satu kumpulan staff PPG Kota Kinabalu yang diketuai oleh Pegawai PPG Kota Kinabalu Dr Haji Mohd Kassim bin Haji Ibrahim telah menyelaras pendaftaran murid dan pengoperasian sekolah.
Pada mula sekolah ini beroperasi, hanya empat orang guru sahaja semasa hari pertama persekolahan. Terdapat lapan buah kelas dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Guru Besar yang menjadi pengasas ialah Encik Akil bin Daring. Pada masa itu sekolah ini mendapat bantuan peralatan seperti kerusi, meja, almari dan lain-lain lagi daripada pihak TLDM.
Sekolah terdiri daripada tiga blok bangunan dua tingkat. Terdapat banyak fasiliti di sekolah ini. Kemudahan asas seperti pejabat pentadbiran, bilik guru, surau, bilik ICT, pusat sumber, tandas, makmal sains, bengkel Kemahiran Hidup, bilik seni dan macam-macam lagi. Pendek kata semua kemudahan yang disediakan oleh pihak TLDM sememangnya lengkap. Bilik-bilik darjah dan bilik-bilik khas yang disediakan amat selesa.
Kini Guru Besar yang mentabir sekolah ini ialah Encik Geoffery Geimin Sinteh. Bilik darjah telah bertambah sebanyak 15 buah. Bilangan murid juga semakin bertambah. Kerjasama erat diantara PIBG semakin dipergiatkan. Sekolah juga menerima banyak kemudahan peralatan dari Kementerian pelajaran di bawah peruntukan sekolah-sekolah dalam Kem Tentera.